‘Keseronokan’ ketika usia muda secara diam-diam membuahkan bahana pembawa sengsara sepanjang hayat, terutama bagi wanita yang segan dan liat menjalani pemeriksaan kesihatan.
Kanser serviks, antara penyakit yang bersarang dalam diam, bukan lagi hak mutlak wanita berusia melebihi 40 tahun kerana pendedahan terlalu awal kepada aktiviti seksual di kalangan kebanyakan remaja kini mendedahkan mereka kepada jangkitan virus human papilloma (HPV).
Remaja yang memulakan hubungan seksual, terutama ketika masih di bangku sekolah (dan pasti di luar ikatan perkahwinan) secara tidak langsung ‘merelakan’ virus ini membiak dalam tubuh mereka.
Walaupun tiada statistik, tetapi kegiatan seksual di luar perkahwinan di kalangan remaja kita seolah-olah menjadi fenomena biasa. Kes pembuangan bayi akibat kehamilan yang tidak dikehendaki menjadi bukti kukuh yang boleh meningkatkan catatan kes kanser serviks.
Walaupun secara umum kanser serviks menyerang wanita berusia 40 tahun ke atas, tetapi remaja aktif seks turut berisiko tinggi mengalami penyakit sama.Malangnya, ramai golongan muda tidak menganggap kanser serviks sebagai masalah mereka kerana penyakit ini mengambil masa lebih kurang 20 tahun untuk menampakkan kesan.
Inilah masalahnya. Kanser serviks bertindak tanpa disedari dan hanya menunjukkan simptom pada peringkat serius, terutama apabila pesakit mula mengalami pendarahan tidak normal di antara waktu haid, selepas mengadakan hubungan seks, selepas menopaus, keluar cecair berbau busuk dari vagina dan pendarahan bertambah banyak pada peringkat lewat.
Kajian menunjukkan 50% daripada 500,000 kehidupan pesakit kanser wanita berakhir dengan kematian akibat lewat mendapat rawatan dan 12 peratus daripada jumlah ini disebabkan serangan kanser serviks.
Kanser serviks adalah penyakit paling biasa yang menyerang organ pembiakan wanita. Ia lazimnya disebabkan jangkitan virus yang merebak melalui aktiviti seksual.

0 comments:
Post a Comment